ARAU: Menginsafi situasi kemarau dan cuaca panas yang semakin meruncing di Perlis, Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya solat sunat Istisqa’ diadakan sebagai usaha memohon hujan dan meredakan ujian yang sedang dihadapi rakyat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkab MAIPs, solat berkenaan ditetapkan diadakkan pada Khamis (26 Mac) pada pukul 8 pagi di Dataran Istiadat, Istana Arau.
Advertisement
Pelaksanaan solat dan tatacara berkaitan akan merujuk kepada panduan rasmi yang disediakan bersama kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, MAIPs menyarankan kepada jemaah yang berhajat untuk bersama-sama menunaikan solat itu agar menggunakan payung dari kenderaan ke kawasan solat; membawa sejadah sendiri; mengambil wuduk dari rumah serta memakai pelitup muka sekiranya mempunyai masalah kesihatan.
Bagi masjid-masjid seluruh negeri Perlis, doa Istisqa’ akan dibacakan ketika Khutbah Jumaat bermula 27 Mac 2026, mengikut ketetapan Jabatan Mufti Negeri Perlis dan penyelarasan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Dalam titahnya, Tuanku Raja Muda menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kedudukan agar berhimpun dengan hati yang insaf dan penuh penyesalan bagi memohon rahmat Allah SWT.
Baginda turut menegaskan, kemarau ini wajar menjadi medan muhasabah agar semua kembali mendekatkan diri kepadaNya.
Dalam masa sama, Syed Faizuddin turut mengajak rakyat untuk meningkatkan ketakwaan, menjauhi kezaliman, bertaubat dan meninggalkan maksiat serta saling memaafkan selain menggandakan puasa, sedekah dan menjauhi perbalahan sesama manusia.
Tuanku Raja Muda jufa berharap agar doa dan rintihan rakyat dikurniakan hujan rahmat yang menyuburkan bumi, bukan hujan yang membawa kemudaratan.
“Kepada Allah jua kita berserah dan bertawakkal,” titah baginda.