Skip to main content

Malaysia

KEMAS rintis perbincangan dengan JPA, SPA perluas syarat permohonan guru tabika

JEMPOL, 18 Julai -- Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Datuk Mohd Hanafiah Man ketika berucap pada program Gema@KKDW 2026 peringkat Negeri Sembilan di Palong 8 hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Hanafiah berkata usaha itu seiring dengan evolusi modul pendidikan KEMAS yang kini menjurus kepada pengkhususan baharu mencakupi aliran Pra Tahfiz, Kelas Pintar dan autisme. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang merintis perbincangan bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi memperluas syarat permohonan jawatan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) jabatan itu.

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata langkah strategik itu bertujuan memastikan pengambilan tenaga pengajar pada masa hadapan tidak lagi terhad kepada pemegang Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan evolusi modul pendidikan KEMAS yang kini menjurus kepada pengkhususan baharu mencakupi aliran Pra Tahfiz, Kelas Pintar dan autisme.

"Perkembangan silibus dan program pendidikan ini secara langsung menuntut KEMAS untuk mempunyai tenaga pengajar daripada pelbagai latar belakang serta bidang kepakaran.

"KEMAS turut mengorak langkah memperkukuh pembangunan profesional guru tabika menerusi pengiktirafan Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) sebagai Kelayakan Mikro hasil kerjasama dengan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM)," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Mohd Hanafiah berkata inisiatif Kelayakan Mikro itu bakal membuka ruang lebih luas kepada lulusan SPAK untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Ijazah Sarjana sekali gus meningkatkan prospek kerjaya mereka.

"Pelatih SPAK kali ini turut menerima elaun di bawah inisiatif MySTEP sebanyak RM2,100 sebulan sepanjang tempoh tiga bulan latihan serta diberikan jaminan laluan kerjaya dengan menerima surat penempatan untuk berkhidmat sebaik sahaja menamatkan kursus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata proses pengambilan guru Tabika KEMAS menerima 7,150 permohonan dari seluruh negara tahun ini, dengan 2,245 calon dipanggil menghadiri temu duga.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,245 calon dipanggil untuk sesi temu duga namun hanya 375 calon atau sekitar lima peratus sahaja yang melepasi saringan ketat untuk diserap ke dalam perkhidmatan," katanya.

Mohd Hanafiah juga berkata pemilihan yang kompetitif itu adalah manifestasi komitmen KEMAS dalam memastikan hanya calon benar-benar terbaik dipilih untuk mendidik generasi pelapis negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement