KUALA LUMPUR: Isu kemasukan pelancong ke negara ini dan persediaan untuk mengatasi kesan musim kemarau seperti masalah kekurangan air antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Syahredzan Johan (PH-Bangi) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai langkah diambil kerajaan dalam memastikan penerbangan sewa menyumbang kepada peningkatan bilangan pelancong dan ekonomi.

Isu kesan kemarau sehingga menyebabkan banyak kawasan berdepan masalah kekurangan air pula akan dibangkitkan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Beliau ingin tahu mengenai mekanisme penyelarasan antara agensi yang dilaksanakan untuk menghadapi musim itu dan usaha memanfaatkan air banjir sebagai persiapan menghadapi kemarau, terutama di negeri-negeri yang memerlukan.

Selain itu, Zahid Hassan (PH-Wangsa Waju) meminta Menteri Ekonomi menyatakan hala tuju dan pendekatan baharu yang sedang dirangka oleh kerajaan, hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 bagi melonjakkan lagi tahap sosioekonomi Bumiputera.

Pada sesi jawab lisan pula, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) dijangka meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup agar menyatakan statistik penglibatan orang ramai di platform aduan yang telah disediakan berhubung isu bekalan dan harga barangan asas.

Beliau juga ingin tahu mengenai persediaan kerajaan dalam memastikan tidak timbul isu bekalan dan harga barangan menjelang hari perayaan utama seperti Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula meminta penjelasan Perdana Menteri berhubung status penggubalan Akta Pendanaan Politik selepas ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat dan jangkaan ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Usai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Berdasarkan takwim dalam laman sesawang rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.

-- BERNAMA