Langkah tambahan kawalan dan perbatasan pergerakan akan dikuat kuasa selama dua minggu mulai esok ke atas kota Jakarta, kawasan yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19 di Indonesia ketika ini.

Sehingga tengah hari ini, kes kematian di Indonesia akibat virus COVID-19 meningkat kepada 48 kes, dengan 29 daripadanya berlaku di Jakarta.

Jurucakap kerajaan Indonesia berkaitan COVID-19, Achmad Yurianto berkata jumlah kes positif COVID-19 meningkat kepada 514 kes berbanding 450 semalam, dengan 29 kematian akibat penyakit itu dicatatkan Jakarta, diikuti dengan Jawa Barat (9), Jawa Tengah (3), Banten (3), Bali (2), dan masing-masing satu kes di Jawa Timur dan Sumatera Utara.

Langkah tambahan pembatasan dan kawalan pergerakan di Jakarta itu akan menyaksikan frekuensi perkhidmatan pengangkutan awam dikurangkan, dan waktu operasinya terhad dari pukul 6.00 pagi sehingga 8.00 malam sahaja.

Selain itu ia turut meliputi kawalan jumlah penumpang, penekanan kepada aspek "jarakan sosial", penutupan pusat- pusat hiburan, dan pelaksanaan sepenuhnya konsep bekerja dari rumah di sektor-sektor yang tidak kritikal.

Pada 14 Mac lepas, pemerintah Jakarta hanya menguatkuasakan penutupan sekolah, pusat pengajian tinggi, tempat- tempat ibadat, pusat-pusat pelancongan serta melarang perhimpuan berskala besar, selama dua minggu bermula 15 Mac hingga 29 Mac ini, dan akan dinilai semula peraturan itu mengikut keadaan semasa.

Pada 20 Mac pula, Gabernor Jakarta Anies Baswedan mengumumkan "status tanggap darurat bencana COVID-19", bagi mengawal penularan COVID-19 dengan menguatkuasakan langkah kawalan dan pembatasan baharu.

Ketika ini lebih 60,000 warga Indonesia dikhuatiri berisiko positif virus COVID-19.

Achmad Yurianto berkata jumlah kes positif, boleh atau berkemungkinan meningkat dengan drastik berdasarkan "pengesanan kontak" mereka yang positif, dengan orang sekitar mereka sebelum ini.

Pihak berkuasa Indonesia turut melakukan semburan nyahkuman di kawasan-kawasan tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai sebelum ini, antaranya jalan utama di Kota Jakarta, Jalan Sudirman dan kawasan Monumen Nasional (Monas).

Wisma Atlet Kemayoran (Perkampungan Sukan Asia 2018) berkapasiti 15,000 orang akan beroperasi sebagai hospital sementara dan pusat kuarantin COVID-19 di Indonesia, bermula esok.

-- BERNAMA