MALAYSIA
Kematian komando ketika Latihan Seaghost mungkin melibatkan peralatan - PTD

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan (tengah) bercakap pada sidang media pada Majlis Serangan Akhir dan Majlis Penutup Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 di Felda Lawin hari ini. - Foto Bernama
LENGGONG: Siasatan awal insiden kematian seorang anggota Rejimen 22 Komando Grup Gerak Khas (GGK) mendapati terdapat kemungkinan isu melibatkan peralatan yang digunakan semasa latihan yang dijalani anggota terbabit.
Ringkasan AI
- Isu peralatan dikenal pasti dalam insiden kematian anggota GGK: Siasatan awal mendapati peralatan lama digunakan semasa latihan mungkin menjadi faktor penyumbang; audit lanjut sedang dijalankan oleh Tentera Darat Malaysia.
- Koperal Haswansir terkorban semasa latihan selam Seaghost: Anggota GGK hilang semasa menggunakan alat pernafasan CCBA dan ditemui maut dua hari kemudian di perairan Kuantan.
- TDM hadapi cabaran aset legasi tetapi amalkan penyelenggaraan berjadual: Pihak tentera berusaha pastikan aset lama diselenggara mengikut tempoh hayat bagi mengekalkan tahap kesiapsiagaan optimum.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Serangan Akhir dan Penutup Eksesais Keris Strike 2025 di Felda Lawin Selatan, dekat sini hari ini.
Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, terkorban semasa menyertai Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Kuantan, Pahang pada 3 Julai lepas.
Allahyarham dilaporkan hilang kira-kira pukul 12.15 tengah hari ketika melaksanakan latihan selam menggunakan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) sebelum mayatnya dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira 10 pagi, 5 Julai.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata pihak tentera sentiasa mematuhi prosedur penyelenggaraan mengikut jadual ditetapkan berdasarkan tempoh hayat peralatan serta senjata, termasuk CCBA yang digunakan dalam latihan.
"Setiap aset yang digunakan mempunyai dasar jangka hayat seperti 10 atau 20 tahun dan sepanjang tempoh itu, penyelenggaraan berjadual dilaksanakan.
"Kita sedang teliti sama ada penyelenggaraan ini dilaksanakan mengikut ketetapan atau sebaliknya, malah tempoh siasatan juga bergantung pada tahap kerumitan isu yang dibangkitkan," katanya.
Beliau tidak menafikan TDM berdepan cabaran dalam pengurusan aset sedia ada yang kebanyakannya ialah "aset legasi" seperti kenderaan dan sistem sokongan yang telah berusia.
Bagaimanapun, katanya TDM melaksanakan penyelenggaraan yang teliti bagi memastikan kesiapsiagaan kekal berada pada tahap optimum untuk melaksanakan tugas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami