PAUH PUTRA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang baharu, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail, di Bilik Tuanku Canselor, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, di sini.
Syed Zainal Abidin dilantik sebagai Pengerusi LPU UniMAP bagi tempoh bermula 21 September 2026 hingga 20 September 2029.
Pelantikan beliau diharap dapat memperkukuh tadbir urus universiti, memperkasa hala tuju strategik institusi serta menyokong usaha UniMAP untuk terus berkembang sebagai universiti teknikal yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tokoh korporat negara itu mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai sektor strategik termasuk automotif, tenaga, pembuatan dan teknologi.
Beliau juga berpengalaman menerajui transformasi organisasi, membangunkan kerjasama strategik, mengurus proses penggabungan dan pengambilalihan syarikat serta mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
Sepanjang kerjayanya, Syed Zainal Abidin pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan di syarikat terkemuka seperti PROTON Holdings Berhad, PETRONAS dan Dagang NeXChange Berhad (DNeX).
Pengalaman luas beliau dalam pengurusan operasi perniagaan global, pembangunan strategi korporat serta penerokaan peluang pertumbuhan dalam industri berteknologi tinggi dilihat mampu menyumbang kepada pengukuhan jaringan kerjasama antara universiti dan industri.
Antara pencapaian penting beliau ialah ketika menerajui PROTON Holdings Berhad sebagai Pengarah Urusan Kumpulan apabila berjaya meningkatkan hasil syarikat daripada RM4.6 bilion kepada RM8.9 bilion.
Dalam tempoh sama, jualan tahunan meningkat sebanyak 75 peratus manakala rizab tunai syarikat berganda kepada RM1.3 bilion.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelancaran beberapa model utama PROTON termasuk Saga, Persona dan Exora.
Dari sudut akademik, Syed Zainal Abidin memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University of Maryland, Amerika Syarikat.
Latar belakang kejuruteraan serta pengalaman dalam kepimpinan korporat dan pengurusan strategik diyakini mampu menyokong aspirasi UniMAP dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap pengalaman dan kepakaran beliau dapat membantu UniMAP memperluas hubungan strategik dengan sektor industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan teknologi dan sosioekonomi negeri Perlis serta negara.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah isteri beliau, Puan Sri Azizan Hashim, Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, dan Pendaftar UniMAP, Norsyahiza Hamzah.