Skip to main content

Bisnes

Permintaan kargo udara global September naik 7.7 peratus - IATA

Kapasiti, diukur dalam kargo tan kilometer (ACTK), bertambah sebanyak 2.7 peratus berbanding September 2025, manakala kapasiti untuk operasi antarabangsa melonjak 3.3 peratus. - Gambar hiasan
Kapasiti, diukur dalam kargo tan kilometer (ACTK), bertambah sebanyak 2.7 peratus berbanding September 2025, manakala kapasiti untuk operasi antarabangsa melonjak 3.3 peratus. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah permintaan kargo udara, diukur dalam kargo tan kilometer (CTK), naik 7.7 peratus dari tahun ke tahun pada September 2026, dengan permintaan antarabangsa meningkat 8.6 peratus, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Kapasiti, diukur dalam kargo tan kilometer (ACTK), bertambah sebanyak 2.7 peratus berbanding September 2025, manakala kapasiti untuk operasi antarabangsa melonjak 3.3 peratus.

Naib Presiden Kanan Untuk Kemampanan dan Ketua Ekonomi IATA, Marie Owens Thomsen berkata, perdagangan dan pembuatan global yang lebih kukuh memberikan latar belakang yang menyokong, manakala penghantaran berkaitan kecerdasan buatan membantu memacu pertumbuhan dua angka sebulan lagi di seluruh Pasifik.

“Cabarannya ialah kos. Harga bahan api jet naik lebih daripada dua kali ganda berbanding setahun sebelum ini dan hasil tidak seiring.

“Tidak ada kekurangan barang untuk dihantar tetapi mengharapkan keuntungan dalam persekitaran harga bahan api yang sentiasa tinggi adalah agak mencabar,” katanya melalui satu kenyataan.

Beberapa faktor persekitaran operasi patut diberi perhatian termasuk 3.6 peratus (peningkatan dari tahun ke tahun dalam perdagangan global pada Ogos, memanjangkan rentetan pertumbuhan bulanan berturut-turut kepada 42 bulan.

Sementara itu, IATA berkata harga bahan api jet melonjak sebanyak 17.5 peratus dari bulan ke bulan pada September dan 103.4 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Aktiviti pembuatan global menunjukkan kenaikan pada Ogos, apabila Indeks Pengurus Pembelian Output Pembuatan Global (PMI) memacu 0.7 mata kepada 53.8, manakala Indeks Pesanan Eksport Baharu meningkat 0.5 mata kepada 51.9.

Kedua-dua penunjuk mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima tahun dan kekal menyokong permintaan kargo udara.

Syarikat penerbangan Asia-Pasifik mencatatkan pertumbuhan 8.6 peratus dari tahun ke tahun dalam permintaan kargo udara pada September, manakala kapasiti bertambah 4.9 peratus dari tahun ke tahun.

“Syarikat penerbangan Amerika Utara menyaksikan rangsangan 11.8 peratus dari tahun ke tahun dalam permintaan kargo udara bagi September, prestasi paling mantap di semua wilayah. Kapasiti adalah lebih baik sebanyak 0.8 peratus dari tahun ke tahun.

“Syarikat penerbangan Eropah pula menyaksikan tambahan 4.5 peratus dari tahun ke tahun dalam permintaan untuk kargo udara pada September. Kapasiti berkurangan sebanyak 1.6 peratus dari tahun ke tahun,” katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan Timur Tengah menyaksikan lonjakan 3.8 peratus dari tahun ke tahun dalam permintaan untuk kargo udara pada September, yang paling lemah berbanding semua wilayah. Kapasiti naik 7.0 peratus dari tahun ke tahun.

“Prestasi kargo udara kekal bercampur-campur di seluruh laluan perdagangan utama pada bulan yang ditinjau. Asia–Amerika Utara mencatatkan pertumbuhan paling kukuh, diikuti dalam Asia, Eropah–Amerika Utara dan Eropah–Asia,” tambahnya.

Sebaliknya, koridor berkaitan Timur Tengah kekal di bawah tekanan, dengan trafik berkurangan di laluan Eropah–Timur Tengah dan Timur Tengah–Asia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement