Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong hari ini menegaskan bahawa tidak wujud sebarang gerakan untuk menjatuhkan presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai oleh mana-mana ahlinya.

Kata Tee Yong, apa yang berlaku sekarang adalah kempen untuk mengukur prestasi dan kesejahteraan parti.

"Sebenarnya, ia permintaan ahli MCA untuk meminda perlembagaan parti supaya dalam pemilihan, pengundian dapat dilakukan secara rahsia. Pemilihan lebih bersih dan ahli boleh buat keputusan tanpa dipengaruhi sebarang tekanan.

"Dalam perlembagaan parti juga tidak disebut bahawa tindakan sedemikian adalah berunsurkan tidak percaya kepada kepimpinan. Mereka yang menyokong cadangan undi secara rahsia itu tidak boleh disifatkan sebagai aktivis atau menentang presiden. Ia cuma pelaksanaan hak demokratik," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelasnya, petisyen itu juga dibuat bukan kerana prestasi presiden atau mana-mana pemimpin parti, tetapi atas kehendak ahli akar umbi.

Selain itu, ia juga diadakan sebagai menggesa supaya tidak menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun ini, yang dilihat boleh menjejaskan persiapan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Justeru beliau kesal isu ini menjadi topik hangat yang disebarkan di laman portal dan media sosial.

"Perkara ini bukan satu isu sebenarnya. Ia dibangkitkan tanpa sebarang asas oleh pihak yang ingin meraih sesuatu dengan mengucar-ngacirkan MCA," ujarnya.

Pada Selasa, sebuah portal melaporkan bahawa ada gerakan daripada veteran parti menganjurkan petisyen bagi menjalankan satu mesyuarat agung tergempar untuk menggulingkan Tiong Lai menerusi undi tidak percaya.

Ia berikutan Menteri Pengangkutan itu didakwa tidak memberi impak kepada parti selain tidak mendapat sokongan daripada UMNO.

Tiong Lai memenangi kerusi Presiden MCA pada 2013, selepas menewaskan pencabar terdekat, Gan Peng Seiu dengan majoriti 186 undi.