Skip to main content

Malaysia

Kementerian Ekonomi lancar MyRMK perkukuh pemantauan RMK13

Sumber: Shahir Omar
Akmal sewaktu melancarkan Sistem MyRMK iaitu Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Putrajaya pada Khamis. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi melancarkan sistem MyRMK, sebuah platform digital bersepadu yang direka khas untuk memantau dan menjejaki kemajuan setiap inisiatif serta objektif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Khamis.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peluncuran sistem itu disusuli dengan penganjuran Inter-Agency Planning Group (IAPG) Perdana yang melibatkan semua kumpulan perancang di peringkat kementerian, agensi, dan kerajaan negeri.

Advertisement

“Selepas pelancaran ini, kita akan meminta semua pihak berkepentingan untuk segera memastikan setiap strategi dan objektif yang dirancang sebelum ini diberikan indikator yang tepat dan jelas. 

"Langkah ini penting supaya fasa seterusnya melibatkan persetujuan bersama terhadap semua sasaran yang ingin dicapai.

"Sistem ini akan bersedia untuk terus menjejak dan memantau kemajuan setiap inisiatif, strategi dan objektif yang digariskan di bawah RMK13," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sistem MyRMK iaitu Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Putrajaya pada Khamis.

Mengulas mengenai persiapan RMK13 yang bersifat dinamik, Akmal Nasrullah memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas bersama Jemaah Menteri akan diadakan esok bagi memperincikan hala tuju rancangan tersebut.

"Justeru, satu mesyuarat khas bersama Ahli Jemaah Menteri akan diadakan esok. Bagi peringkat jawatankuasa, perbincangan awal telah pun diadakan semalam dengan mengambil kira input daripada kementerian-kementerian berkaitan.

"Hasil dapatan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat esok untuk diperhalusi sebelum tindakan susulan diputuskan," katanya.

Must Watch Video