MALAYSIA
Kementerian Komunikasi pastikan rakyat tidak ketinggalan arus transformasi negara

Fauzi (dua, kiri) menyerahkan Jalur Gemilang sempena Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang. - Foto BERNAMA
PADANG BESAR: Kementerian Komunikasi sentiasa cakna dan mengambil berat bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam arus transformasi negara tanpa mengira lokasi geografi, peringkat usia mahupun latar sosioekonomi.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata pelbagai inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat itu.
Beliau berkata hasil usaha yang dilaksanakan, Malaysia telah mencapai kemajuan membanggakan bukan sahaja dalam pembinaan infrastruktur komunikasi tetapi juga dalam memperkasakan rakyat dan komuniti.
"Buktinya, inisiatif NADI baru-baru ini, telah menerima anugerah Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WSIS) 2025 di Geneva, Switzerland dalam kategori Pembinaan Kapasiti."Hal ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan Malaysia dalam memperkasakan komuniti mendapat pengiktirafan global dan memberi impak sebenar. Pengiktirafan ini turut memperlihatkan bagaimana inisiatif NADI memberi impak sebenar di peringkat komuniti," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program "Perlis Connect" di Padang Besar Street di sini pada Sabtu.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenaan melancarkan program itu.
Mohamad Fauzi berkata di Perlis, pelaksanaan program di pusat-pusat NADI seperti latihan dan bimbingan keusahawanan telah membuka jendela peluang kepada komuniti luar bandar untuk turut maju bersama dalam arus global.
Beliau berkata hasil bimbingan melalui program keusahawanan dan latihan di bawah inisiatif NADI, ramai usahawan tempatan di negeri ini daripada pelbagai latar belakang termasuk bermula dengan perniagaan kecil, berjaya mengembangkan potensi dan menjana pendapatan mereka melalui platform digital.
"Nama-nama seperti Corn Dough Frozen D' Dapur Maksu, Mama Nory Bakery, Port Creative dan Embun Warisan Kayu kini menjadi contoh bagaimana sokongan yang tepat mampu membantu komuniti setempat menjana pendapatan, membina jenama dan menambah nilai dalam ekonomi digital negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi kekal teguh untuk memerangi penipuan dan jenayah dalam talian, melindungi data peribadi, menjamin privasi pengguna serta memperkukuh keselamatan siber negara.
Beliau berkata program Kempen Internet Selamat yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara akan dapat mencetuskan arus kesedaran baharu tanggungjawab untuk mewujudkan Internet yang selamat oleh semua pihak.
Program Perlis Connect anjuran MCMC yang berlangsung hari ini menawarkan pelbagai pengisian menarik dan informatif, termasuk penggunaan Internet secara selamat.
Penganjuran program sehari dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu, antara lain untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perayauan supaya tidak dikenakan caj tambahan semasa berada di kawasan sempadan serta memperhebat antibuli dalam kalangan pelajar.
Turut hadir Ahli Suruhanjaya MCMC Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami