NIBONG TEBAL: Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Kecil, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 4.10 pagi.
“Kebakaran melibatkan tiga rumah setingkat dan maklumat awal memaklumkan enam penghuni termasuk bayi berusia enam bulan selamat.
“Kebakaran membabitkan rumah berkeluasan 190 meter persegi setiap satu itu dapat dikawal pada 4.44 pagi dan api berjaya dipadamkan pada 6.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi melibatkan lebih 50 pegawai dan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, BBP Sungai Bakap dan BBP Parit Buntar serta Pasukan Bomba Sukarela.
Operasi juga melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd.
John Sagun berkata punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA