MELAKA TENGAH: Kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 mencatatkan 31.07 peratus setakat jam 11.30 pagi Sabtu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, perkembangan awal itu memberangsangkan dan pihaknya yakin sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus keluar mengundi mampu dicapai.
Menurutnya, SPR turut menerima data kehadiran pengundi secara masa nyata, termasuk pecahan mengikut jantina dan kategori orang kurang upaya (OKU).
"Sehingga sekarang ni, wanita mendahului lelaki keluar mengundi. Wanita telah pun 31 peratus keluar mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ramlan memaklumkan, lebih 7,000 pengundi berdaftar dalam kategori OKU sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Beliau menyifatkan penyertaan golongan berkenaan sebagai perkembangan positif dalam proses demokrasi negeri itu.
Mengulas sasaran keseluruhan, Ramlan berkata, SPR masih optimis kadar keluar mengundi mampu mencapai antara 70 hingga 75 peratus.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menangguhkan proses pengundian susulan ramalan hujan pada sebelah petang.
"Saya tetap menyeru orang ramai untuk keluar lebih awal mengundi kerana kita takut cuaca yang diramalkan akan berlaku hujan pada sebelah petang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, keputusan pertama PRN Melaka dijangka diumumkan selewat-lewatnya jam 9.30 malam ini, manakala keputusan keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diketahui sebelum tengah malam.
Proses pengiraan undi akan dilaksanakan di pusat mengundi sebelum keputusan disalurkan ke pusat penjumlahan undi setiap DUN dan seterusnya kepada urus setia SPR di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh.
Sebanyak 240 pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi dan dijadualkan ditutup pada jam 6 petang.