Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mencadangkan supaya Standard Operating Procedure (SOP) pengendali loji air dikaji semula bagi mengenal pasti jenis bau yang akan membolehkan mereka menutup operasi.

Saranan itu dibuat supaya penghentian operasi loji itu tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna, menurut menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Setakat ini hanya pihak Pengurusan Air Selangor yang memantau parameter bau sedangkan parameter bau tidak dikehendaki untuk dipantau dalam bekalan air mentah oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah kementeriannya juga tidak mempunyai parameter bau di bawah Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi air sungai.

Sehubungan dengan itu, katanya, pasukan bersepadu antara agensi yang ditubuhkan susulan insiden pencemaran di Sungai Buah yang mengakibatkan penutupan Loji Rawatan Air Semenyih akan menilai semula dengan serta-merta kaedah persampelan bau yang dilaksanakan pihak Air Selangor.

“Tindakan ini bagi memastikan sama ada ia mengikut kaedah dan piawaian yang disyorkan atau sebaliknya,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan keseluruhan insiden penutupan loji air akibat pencemaran bau yang dilaporkan sejak September yang lalu.

BACA: Loji rawatan air Semenyih terpaksa ditutup semula

BACA: Siasatan menyeluruh punca Sungai Buah tercemar - Wan Junaidi

BACA: LRA Semenyih beroperasi semula - Syabas

BACA: Exco Selangor dakwa sampel air dari kawasan Nilai positif racun


Wan Junaidi dalam kenyataannya turut menggesa pihak pengendali lebuh raya agar segera melaporkan sebarang insiden yang melibatkan tumpahan bahan kimia atau bahan yang boleh mengalir dan mencemarkan alur air.

"Laporkan insiden kemalangan kepada pihak JAS agar JAS boleh memantau kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan dan memberi khidmat nasihat jika perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Susulan kejadian benteng pecah di Sungai Buah, Nilai, Negeri Sembilan, akibat hujan lebat Jumaat lalu, beliau berkata, pelbagai usaha telah digerakkan pihak berkaitan.

Selain kerja-kerja pembaikan benteng, tambahnya, sebanyak 3 lagi benteng akan dibina bagi menghalang aliran air dari Sungai Buah yang disyaki tercemar ke Sungai Semenyih.

"Kerja-kerja pembaikan benteng yang pecah sedang dilakukan.

"Sebanyak 3 lagi benteng akan dibina dan air akan dilepaskan melalui bukaan kecil di benteng pertama dan akan mengalir secara overflow melalui benteng seterusnya.

"Tindakan secara amalan kejuruteraan terbaik dengan meletakkan karbon teraktif (activated carbon) sedang diguna pakai bagi mengurangkan pencemaran bau dan diletakkan pada setiap benteng yang dibina," katanya.

BACA: Tercemar: Loji rawatan air Sungai Semenyih ditutup semula

BACA: Kawasan terjejas bekalan air mula dipulihkan bermula Rabu hingga Jumaat - Syabas

BACA: Pencemaran Sungai Semenyih: Kerajaan negeri buat laporan polis - Azmin

BACA: Gangguan bekalan air di Selangor akibat pencemaran bau


Wan Junaidi berkata tindakan itu diambil susulan pemantauan yang dilakukan oleh Pusat Gerakan Bencana dan operasi bencana yang telah diwujudkan, diketuai Unit Pengurusan Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan turut dianggotai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), JPS Selangor, Air Selangor dan JAS Cawangan Sepang.

Beliau turut mencadangkan agar LUAS mengkaji penggunaan karbon teraktif sebagai amalan kerjuruteraan terbaik seperti yang digunakan oleh loji-loji lain.

Dalam masa yang sama, tambahnya, pihak JAS juga masih meneruskan pemantauan terhadap punca-punca yang tertakluk di bawah bidangkuasanya, di samping memberi khidmat nasihat terhadap kerja-kerja yang sedang dilakukan oleh pelbagai pihak berkenaan.