KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia masih belum menerima hasil siasatan berhubung kebakaran melibatkan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud di Dewan Rakyat hari ini.

"Kita belum terima laporan terkini hasil siasatan kebakaran (bangunan KWSP).

"Namun, jika ada hasil siasatan tentang kebakaran baru-baru ini, kita akan maklumkan secara bertulis kepada YB Pendang (Datuk Awang Hashim)," katanya di sini pada Rabu.

Sebelum itu, Awang bangkit meminta penjelasan adakah siasatan telah dijalankan susulan kebakaran bangunan KWSP.

Soal beliau lagi, adakah bangunan KWSP telah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP).

Tambah beliau, sekiranya JKPP dan MNKPP telah memaklumkan mengenai piawaian tersebut tetapi ia tidak dipatuhi, kemungkinan KWSP perlu meningkatkan tahap penyelenggaraan terhadap bangunan tersebut.

Begitupun, Mustapha tanpa merujuk kepada bangunan KWSP berkata, piawaian yang telah dicapai berkaitan keselamatan dan kesihatan secara kumulatif adalah 36 peratus dengan sasaran pada 2022 adalah 44 peratus.

Semalam, polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kebakaran bangunan lama KWSP di Jalan Gasing, Petaling Jaya, dalam insiden pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menunggu laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pada Isnin, bangunan lama Kumpulan KWSP sekali lagi terbakar selepas kejadian pertama pada Februari 2018.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.39 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.