PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menyifatkan perbuatan seorang lelaki meliwat dan membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan yang diasuh isterinya sebagai tindakan amat kejam, tidak berperikemanusiaan dan keganasan melampau terhadap bayi yang tidak berdaya.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata perbuatan Mohamed Badruldin Mohamed, 41, selaku responden ialah pengabaian tanggungjawab secara terang-terangan serta pengkhianatan terhadap amanah keluarga.
“Mangsa ialah bayi lelaki sembilan bulan yang diserahkan oleh ibunya kepada isteri responden untuk dijaga sementara dia bekerja. Responden telah menyalahgunakan kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk menganiaya mangsa sehingga bayi itu diliwat dan meninggal dunia akibat lemas kerana saluran pernafasannya terhalang.
“Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada responden dan masyarakat bahawa jenayah seperti ini amat dibenci dan hukuman terakhir yang setimpal ialah hukuman mati. Oleh itu, rayuan pendakwaan dibenarkan.
“Hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan diganti dengan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika menyampaikan keputusan mahkamah.
Prosiding rayuan itu dipengerusikan Datuk Azman Abdullah dan turut bersidang ialah Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Hayatul Akmal dalam penghakiman itu berkata mahkamah berpendapat hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap responden adalah tidak memadai.
“Kami merujuk laporan bedah siasat yang jelas merekodkan kecederaan dan lebam pada dubur dan bibir mangsa yang konsisten dengan punca kematian iaitu lemas. Kecederaan ini menggambarkan kekejaman dan kesakitan luar biasa yang terpaksa ditanggung seorang bayi tidak berdosa.
“Ahli kimia turut mengesahkan asid deoksiribonukleik (DNA) sperma responden ditemukan pada calitan dubur dan rektum mangsa dan dapatan ini menunjukkan bayi lelaki itu diliwat oleh responden, iaitu orang yang diberikan kepercayaan untuk memastikan keselamatannya,” katanya.
Hayatul Akmal berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak memberikan justifikasi yang munasabah ketika menjatuhkan hukuman terhadap responden.
“Hakim Mahkamah Tinggi terlampau menitikberatkan faktor mitigasi responden, iaitu hasrat untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi bapa lebih baik sehingga mengetepikan keseriusan jenayah yang dilakukan terhadap seorang bayi tidak berdosa.
“Pada hemat kami, hakim Mahkamah Tinggi terlepas pandang sifat keji kesalahan ini, undang-undang substantif dan magnitud jenayah tersebut. Kegagalan melihat keseriusan jenayah ini menuntut kami campur tangan bagi menegakkan keadilan substantif dan membetulkan ketidakadilan yang berlaku,” katanya.
Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Nov 2025 yang menjatuhkan hukuman tersebut selepas Mohamed Badruldin mengaku bersalah membunuh bayi itu di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Ara Damansara antara 8 pagi hingga 3.30 petang 27 April 2021.
Lelaki itu turut berhadapan pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii (meliwat) mangsa pada 11 pagi hingga 12 tengah hari pada tarikh dan di lokasi sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan dengan hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak dengan kes bunuh.
Pihak pendakwaan tidak merayu bagi kes liwat.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala Mohamed Badruldin diwakili peguam Datuk Mohtarudin Baki dan Jayananda Rao.
-- BERNAMA