GERIK: Semangat toleransi dan kasih sayang perlu sentiasa dipupuk dan diamalkan dalam kalangan rakyat agar penyatuan masyarakat tidak dicemari dengan kebencian dan permusuhan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, tekad dan semangat untuk sentiasa mempertahankan keamanan dan keharmonian negara perlu diperluaskan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Usaha mendapatkan kemerdekaan itu suatu perjuangan, tetapi mempertahankan kemerdekaan juga adalah satu perjuangan yang mesti diteruskan," katanya selepas melancarkan bulan kebangsaan dan kibar jalur gemilang di Hentian Bas Gerik hari ini.

Menurutnya, sebelum ini sambutan Hari Kebangsaan terjejas selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, dan kini apabila ia dapat diadakan semula, sekali gus sambutannya akan dapat menghangatkan kembali rasa cinta kepada tanah air.

"Kita tidak perlu pergi menoleh jauh ke belakang untuk mengerti besarnya hikmah perpaduan. Ambil sahaja contoh bagaimana pentingnya perpaduan ketika rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mengharungi situasi getir memerangi wabak COVID-19.

"Tanpa perpaduan kita tidak mungkin dapat keluar daripada belenggu COVID-19 yang cukup memeritkan. Tanpa perpaduan, kita tidak mungkin dapat menjayakan program vaksinasi sehingga akhirnya kita memasuki fasa pemulihan untuk membina semula negeri di celah-celah runtuhan pandemik," tambahnya. - BERNAMA