ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinannya untuk menoktahkan permasalahan miskin tegar di seluruh negeri Kedah, tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan semua pihak termasuk jentera kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berusaha merealisasikan hasrat berkenaan.

"Saya (mahu) minta kerjasama seluruh jentera kerajaan Perpaduan, jentera Kerajaan Negeri Kedah dan seluruh jentera Majlis Perbandaran (atau Pihak Berkuasa Tempatan), untuk membantu kearah (mencapai hasrat) ini,

"Kerana adalah mengaibkan bagi negara yang punyai keupayaan, dengan khazanah besar, minyak dan gas, kelapa sawit, dan pelbagai industri, tidak boleh menyelesaikan masalah asas kemiskinan tegar, di negara kita," katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih Perdana Menteri sempena keberangkatan Sultan Kedah dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa kerajaan pimpinannya telah memperuntukan sekitar RM1.6 bilion bagi negeri Kedah melalui Belanjawan Madani 2023.

Peruntukan berkenaan tidak termasuk beberapa inisiatif lain seperti bantuan kepada sekolah dan klinik daif, projek bekalan air di beberapa daerah di Kedah.

Perdana Menteri juga turut memberi jaminan bahawa akan membantu memudah cara kemasukan pelaburan ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) susulan lawatan ke China bulan lalu, sekali gus dapat memacu kepada pertumbuhan ekonomi yang bermakna di negeri Jelapang Padi itu.