KUALA LUMPUR: Program kempen antidadah dalam kalangan remaja perlu dilaksanakan dengan lebih kerap bagi membendung jenayah penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan itu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon berkata kempen seperti itu bukan sahaja boleh mengisi masa senggang remaja dengan aktiviti sihat tetapi ia juga dapat membantu usaha kerajaan dan agensi berkenaan membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

"Pengisian program perlu diberi penekanan dari aspek pemantapan bahaya dadah, pembangunan nilai jati diri, daya tahan dan kepimpinan," katanya ketika merasmikan Kempen Bersepadu ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 di sini semalam.

Kempen berkenaan merupakan anjuran Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan AADK.

Sementara itu Pengerusi PJNM Datuk Zulkifly Ibrahim berkata pendidikan awal mengenai bahaya dadah mampu mencipta persekitaran yang lebih selamat dan sihat untuk golongan muda di negara ini.

Zulkifly berkata kempen kesedaran tentang dadah dan jenayah juvana adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan jenayah berkaitan juvana dengan tumpuan kepada pencegahan dan pendidikan.

"Kami komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang, pihak berkuasa tempatan dan rakan-rakan korporat, untuk meluaskan jangkauan kempen kesedaran kami dan memberikan kesan positif kepada masyarakat.

-- BERNAMA