Kempen selama setahun untuk memberi tekanan terhadap pemansuhan Akta Hasutan 1948 akan dijalankan di seluruh negara.

Jawatankuasa Peguam-Peguam Muda Nasional (JPMN) Majlis Peguam Malaysia berkata, kempen '#MansuhAktaHasutan’ bertujuan untuk menekan kerajaan untuk menunaikan janji untuk memansuhkan undang-undang "zalim, ketinggalan zaman dan kuno" itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 11 Julai, 2012, telah berjanji untuk memansuhkan akta tersebut dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

"Ini adalah kempen sepanjang tahun untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan itu.

"Kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai mengapa Akta itu perlu dimansuhkan dan meraih sokongan padu untuk pemansuhan akta itu," kata Pengerusi JPMN Syahredzan Johan di majlis pelancaran kempen dan forum malam tadi.

Antara inisiatif yang akan dijalankan sepanjang tahun termasuk kempen media sosial, bengkel kesedaran, kempen tandatangan #MansuhAktaHasutan, yang akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan pada akhir kempen.

"Ada orang yang masih berfikir Akta Hasutan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian negara tetapi ia sebenarnya melanggar dan menyekat kebebasan bersuara," tambah Shahredzan.

Selain menyeru pemansuhan, kempen itu juga mahu semua tuduhan hasutan ketika ini digugurkan.
Terdapat beberapa siri tuduhan hasutan baru-baru ini, kebanyakannya terhadap ahli politik dari pihak pembangkang.

Pada hari Isnin, Profesor undang-undang Universiti Malaya Azmi Sharom menjadi ahli akademik pertama yang didakwa di bawah undang-undang itu atas komen beliau berkaitan dengan krisis perlembagaan Perak pada 2009.

"Akta Hasutan digunakan sebagai alat politik, dan dibayangkan sebagai undang-undang. Ia adalah satu senjata yang digunakan untuk mengugut masyarakat dan untuk menindas perbahasan terbuka dalam masyarakat," kata Presiden Majlis Peguam Malaysia Christopher Leong pada majlis pelancaran itu.

#mansuhaktahasutan
Para panelis (dari kiri) Datuk Saifuddin Abdullah, Ambiga, Leong dan Syahredzan pada pelancaran kempen #mansuhaktahasutan di Kuala Lumpur semalam. -Astro AWANI/Cynthia Ng
Sementara itu, bekas Presiden Peguam Malaysia dan aktivis hak asasi manusia, Datuk S. Ambiga mengutuk penganiayaan itu terhadap ahli-ahli parlimen, ahli akademik dan wartawan menggunakan Akta Hasutan.

Pada hari Khamis, wartawan Malaysiakini Susan Loone menjadi individu terbaru ditangkap bagi satu artikel yang dianggap sebagai 'hasutan', iaitu satu temu bual ahli EXCO Pulau Pinang Phee Boon Poh dan penangkapan besar-besaran Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di negeri itu, yang diterbitkan pada 1 September.

"Sekarang, mereka sedang sasar wartawan ketika melakukan tugas mereka. Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) harus menentang ini," kata Ambiga di majlis yang sama.

"Kempen ini bukan sahaja memansuhkan Akta Hasutan. Ini juga tentang pengawalan kuasa dan menghentikan penyalahgunaan kuasa.

"Kempen ini juga menunjukkan pihak berkuasa dan pemimpin yang kita mahu masyarakat yang lebih berperikemanusiaan. Kita mesti menghormati para peguam, ahli-ahli politik dan wartawan kami," tambah beliau.