KUALA LUMPUR: Tentera Darat telah mengadakan kempen penerangan di sekolah-sekolah sebagai usaha menarik minat kaum bukan bumiputera menyertai pasukan beruniform berkenaan.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata kempen itu adalah untuk memberi penerangan kepada kaum bukan bumiputera dan generasi muda mengenai peluang kerjaya dalam satu daripada cabang bersenjata dalam Angkatan Tentera Malaysia.

"Selain itu, ia juga memberi pendedahan bahawa individu yang menyertai Tentera Darat mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi memajukan kerjaya mereka di Tentera Darat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Ibadah Korban Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha Tentera Darat untuk menarik penyertaan kaum bukan bumiputera dalam angkatan berkenaan.

Mengenai majlis hari ini, Mohammad berkata sebanyak 32 ekor lembu dikorbankan dan daging diagihkan kepada warga Tentera Darat di kem berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga bekerjasama dengan sembilan badan bukan kerajaan untuk mengagihkan daging-daging korban kepada para asnaf di sekitar ibu kota.

Mohammad berkata Tentera Darat turut mengagihkan lembu-lembu di perbatasan agar anggotanya yang bertugas dalam operasi dapat bersama-sama melaksanakan ibadah korban.

-- BERNAMA