Kempen Tabung Pahlawan 2025-2026 sasar kutipan RM3 juta, RM1.095 juta telah dikumpul

Dr Wan Azizah (tengah) menerima sumbangan korporat daripada Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin sempena Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 di Kem Perdana Sungai Besi di sini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kempen Tabung Pahlawan (KTP) bagi sesi 2025-2026 telah berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1.095 juta setakat ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin sasaran kutipan RM3 juta pada sesi kali ini mampu dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat awam, agensi kerajaan, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Marilah kita jadikan KTP ini bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi sebagai satu gerakan yang menyemai sifat keprihatinan rakyat terhadap kebajikan perwira negara kita," katanya ketika berucap di majlis pelancaran kempen berkenaan di sini, hari ini.
Kempen itu yang kutipan sumbangannya dimulakan setiap 1 Ogos sehingga 31 Julai, dilancarkan Penaung KTP Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Perdana Menteri.Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
KTP 2024-2025 sebelum ini berjaya mengumpul lebih RM2.19 juta, meningkat berbanding RM1.3 juta direkodkan pada sesi sebelumnya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah dalam ucapannya menyeru rakyat Malaysia menyumbang kepada KTP sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan warga ATM dan veteran, sambil menegaskan keamanan serta kedaulatan yang dinikmati hari ini bukanlah percuma.
"Justeru, sumbangan orang ramai, sama ada besar atau kecil, adalah antara cara untuk 'membalas jasa' mereka yang telah berjuang demi negara," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk veteran agar menjadi golongan yang produktif melalui inisiatif kerjaya kedua selain menggalakkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menyediakan latihan kemahiran teknikal dan peningkatan kemahiran mereka.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami