SEMENYIH : Kira-kira 545,000 batang pokok telah ditanam di negeri Selangor melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok sehingga 22 September lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu terus dipergiat bagi memupuk kesedaran masyarakat supaya cintakan alam semula jadi demi kesejahteraan penduduk di negeri itu.
 
"Usaha ini adalah selari dengan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara kita supaya dilitupi oleh pokok-pokok dan kawasan hutan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro pada 1992.

"Kerajaan Negeri turut menyumbang dengan mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keluasan negeri sebagai hutan simpan kekal," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Penanaman Pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor bagi Tahun 2022 yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah di Bukit Broga, Semenyih.

Menyedari kepentingan hutan untuk kesejahteraan sejagat, Kerajaan Negeri katanya telah mewartakan seluas kira-kira 581.48 hektar Hutan Tanah Kerajaan sebagai Hutan Simpanan Kekal pada Ogos 2021 dan sebahagian daripadanya adalah Hutan Simpan Bukit Broga dengan keluasan 63.88 hektar.

"Seluas 486.07 hektar lagi telah dikenal pasti dan diluluskan sebagai hutan simpanan kekal pada April 2022 yang lalu," ujarnya. 

Jelas beliau, proses pewartaan itu berada di peringkat akhir dan dijangka akan selesai untuk disiar warta dalam tempoh yang terdekat.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri Selangor konsisten untuk memelihara dan melindungi khazanah hutan di negeri itu supaya berfungsi dengan baik selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta menangani isu perubahan iklim.

"Dalam kita menghadapi insiden luar jangka seperti kesan hujan yang berpanjangan dan bencana banjir besar, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan negeri Selangor sebagai negeri yang tahan uji dan rakyatnya sentiasa dilindungi.

"Melalui pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) baru-baru ini, pengurusan hutan dan alam sekitar secara lestari telah menjadi antara tema utama dalam proses merangka inisiatif-inisiatif strategi yang effisien dan berimpak tinggi. Sudah pastinya usaha ke arah pencapaian tersebut," tambahnya. 

Program Penghijauan Malaysia dilancarkan melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025.