Skip to main content

Malaysia

Kenaikan harga minyak global, AKPS tingkat kawalan sempadan kekang penyeludupan

61760320044_AKPS.jpg
SAC Mohd Nasaruddin M Nasir berkata langkah itu bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap situasi semasa untuk menyeludup barangan bersubsidi. - Gambar fail

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperketat pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam susulan konflik Asia Barat yang memberi kesan kepada harga minyak global.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir berkata langkah itu bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap situasi semasa untuk menyeludup barangan bersubsidi.

Advertisement

Beliau berkata lebih 300 anggota AKPS ditempatkan di kompleks berkenaan bagi melaksanakan kawalan sempadan dan pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar masuk.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 100 anggota ditugaskan pada setiap syif bagi memastikan operasi kawalan dan pemeriksaan dapat dijalankan secara berterusan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata operasi dilaksanakan melalui dua syif utama iaitu syif pertama bermula 6 pagi hingga 3 petang, manakala syif kedua bermula 2 petang hingga 12 tengah malam.

Mohd Nasaruddin berkata fokus pemeriksaan ketika ini lebih tertumpu kepada kenderaan perdagangan bagi mengesan sebarang cubaan membawa keluar barangan bersubsidi seperti diesel, petrol, minyak masak serta barangan kawalan lain secara tidak sah ke negara jiran.

“Pemeriksaan melibatkan semakan dokumen, pemeriksaan fizikal kenderaan serta pemantauan terhadap jenis dan kuantiti muatan bagi memastikan ia mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata AKPS turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan kawalan sempadan negara dilaksanakan secara bersepadu.

Beliau berkata AKPS komited memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara terus terpelihara selain membendung sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi negara serta bekalan barangan bersubsidi kepada rakyat.

Minyak mentah Brent pada Isnin melonjak sehingga mencecah US$119.50 setong, paras tertinggi sejak 2022 sebelum susut kepada kurang US$100 setong pada Selasa selepas negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) membayangkan kesediaan melepaskan stok simpanan kecemasan.

-- BERNAMA

Must Watch Video