TEHRAN: Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Politik Majid Takht-e-Ravanchi berkata rundingan mengenai perjanjian muktamad akan dimulakan sejurus selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di Switzerland, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Ketika ditemui di luar mesyuarat bersama duta, kuasa usaha dan ketua misi asing serta antarabangsa yang berpangkalan di Tehran, Takht-e-Ravanchi menjawab pertanyaan IRNA berhubung butiran pelaksanaan langkah timbal balik yang digariskan dalam MoU yang diusahakan melalui pengantaraan Pakistan.
Beliau berkata sebaik sahaja proses pemeteraian MoU di Switzerland selesai, rundingan akan dimulakan.
Setakat ini tiada perbincangan mengenai butiran seperti tempoh delegasi Iran akan berada di Geneva atau isu khusus yang akan dibincangkan.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak Iran dan AS mengesahkan bahawa rundingan mengenai perjanjian muktamad akan bermula selepas MoU ditandatangani.
Menurut diplomat Iran, mesyuarat yang akan datang akan melibatkan wakil kedua-dua pihak, dengan Naib Presiden AS James David Vance dan Yang Dipertua Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, dijangka hadir di Switzerland.
Menjawab soalan mengenai kemungkinan pelanggaran gencatan senjata di Lubnan, Takht-e-Ravanchi berkata memorandum itu mengandungi peruntukan yang jelas mengenai penamatan perang dan operasi ketenteraan di semua kawasan konflik.
Beliau berkata sekiranya berlaku sebarang pelanggaran oleh rejim Israel, mekanisme yang diperuntukkan dalam MoU akan diaktifkan.
Beliau turut berkata AS memberikan komitmen bagi pihak rakannya untuk memastikan permusuhan dihentikan di semua kawasan konflik, termasuk di Lubnan.
Timbalan Menteri Luar itu juga menegaskan yang perbincangan mengenai komitmen nuklear Iran masih berada pada peringkat umum ketika ini.
Iran belum memasuki rundingan terperinci mengenai perkara berkenaan. Isu nuklear pada dasarnya sudah jelas, termasuk aspek pengayaan uranium, simpanan bahan nuklear dan keperluan nuklear Iran. Namun, perbincangan terperinci hanya akan diadakan selepas MoU ditandatangani dan diiktiraf secara rasmi.
Pakistan muncul sebagai pengantara penting dalam diplomasi terkini antara AS dan Iran, termasuk membantu mendapatkan gencatan senjata sementara pada April serta memudah cara diplomasi ulang-alik selama beberapa bulan yang membawa kepada persetujuan mengenai “Memorandum Islamabad”, sekali gus membuka jalan kepada rundingan ke arah penyelesaian yang lebih menyeluruh antara Tehran dan Washington.
-- BERNAMA-IRNA