KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berpandangan perlunya satu akta perundangan dengan hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pesalah yang merupakan public figure dan berpengaruh terutamanya apabila ia membabitkan kesalahan-kesalahan yang mengeksploitasi kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kementeriannya berpendirian tegas bahawa kanak-kanak di bawah umur 18 tahun perlu dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi.

“Saya ingin merujuk kepada kes dakwaan pengantunan kanak-kanak dan kandungan lucah melibatkan dua orang mangsa kanak-kanak lelaki berumur 14 dan 15 tahun melalui Instagram live yang dilaporkan di media baru-baru ini. Perkara tersebut didakwa telah dilakukan oleh seorang ahli perniagaan yang juga merupakan pengasas produk kosmetik pada awal pagi 9 Jun 2021 yang lalu.

“Pengasas produk kosmetik tersebut telah ditahan reman bersama rakannya berhubung dakwaan membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan dua kanak-kanak berkenaan. Selain itu, kanak-kanak ini juga dikatakan telah diajar tentang penggunaan rokok elektronik atau vape dan bahan terlarang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Rina, Mesyuarat Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial bersama pelbagai pihak termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan semalam turut memperincikan beberapa cadangan dalam memastikan kanak-kanak di negara ini sentiasa dilindungi.

“Antara perkara-perkara yang telah diputuskan di dalam mesyuarat adalah lebih banyak program child awareness campaign akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), PDRM dan lain-lain untuk menghasilkan video-video kesedaran pencegahan jenayah terhadap kanak-kanak bagi tayangan umum.

“Perlunya akta perundangan dengan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan-kesalahan eksploitasi kanak-kanak terutamanya kepada pesalah-pesalah yang merupakan public figure yang berpengaruh selain merancang dan melaksanakan tindakan pencegahan yang lebih pantas melalui platform dalam talian untuk mengekang sebarang aplikasi/permainan dalam talian/laman web dan lain-lain yang mempunyai unsur eksploitasi dan jenayah terhadap kanak-kanak,” jelasnya.

Selain itu katanya, Tinjauan Pendapat Bulan Keluarga Kebangsaan yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2020 juga mendapati tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak–anak menurun daripada 62.5% pada tahun 2018 kepada 53.3% pada tahun 2020.

Justeru Rina menyeru ibu bapa untuk memainkan peranan penting memastikan pengawasan dan kawalan terhadap kanak–kanak terutamanya terhadap penggunaan gajet.

Ibu bapa katanya boleh mengawal aktiviti mereka melalui parenting tools atau aplikasi berkaitan keibubapaan dalam talian sedia ada yang boleh dipercayai dan dimuat turun menerusi Google Play dan Apple Store.

Beliau juga menyeru agar orang ramai segera melaporkan kepada pihak polis atau Talian Kasih 15999 seandainya mengetahui atau mengesyaki berlakunya kes eksploitasi terhadap kanak-kanak