Oleh Ina Mohd. Sumber Astro Awani.

Tragedi yang berlaku pada Jumaat yang lalu sememangnya mengemparkan seluruh rakyat Malaysia. Kejadian gempa bumi berukuran enam skala richter yang berpusat di Ranau, Sabah telah mengorbankan 19 orang. Ini adalah gegaran paling kuat yang pernah berlaku di Malaysia dalam tempoh 39 tahun.

Kejadian ini memang mengejutkan malah di laman sosial juga ramai yang melahirkan rasa simpati keatas keluarga-keluarga mangsa. Pihak berkuasa, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi lain telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Namun begitu kita jangan lupa kepada mereka yang berkorban nyawa bagi menyelamatkan pendaki-pendaki yang berada di Gunung Kinabalu sewaktu kejadian. Mereka adalah pahlawan yang sebenar.

Robbi Sapinggi

Malim gunung berusia 31 tahun ini akan sentiasa diingati oleh para pendaki yang pernah mendapatkan khidmatnya.Robbi cukup dikenali dengan sifat murah hati, suka berjenaka dan fasih bertutur Bahasa Inggeris.Malah di Facebook rata-rata yang pernah mendaki Gunung Kinabalu bersama Robbi amat sedih dengan pemergiannya.

Ketika berlakunya gempa bumi, Robbi dalam perjalanan turun dari Gunung Kinabalu sambil mengiringi kumpulan pendaki yang menggunakan khidmatnya. Robbi yang berasal dari Kampung Kiau meninggal dunia kerana terkena runtuhan batu. Dia memastikan kesemua pendaki yang dibantunya dalam keadaan selamat sebelum menghembuskan nafas terakhir beberapa minit selepas pasukan penyelamat tiba.

Jomius

Seorang pendaki warga Australia berkongsi detik mendebarkan tatkala berlakunya gempa bumi dan dia berada di puncak gunung Kinabalu. Memetik laporan ABC news, Vee Jin Dumlao dan rakannya terpaksa menunggu pasukan penyelamat yang tidak kunjung tiba selama beberapa jam sebelum malim gunung yang bernama Jomius membuat keputusan untuk menuju ke kawasan selamat. Menurut Vee Jin, Jomius membuat peralatan abseiling menggunakan sumber disekelilingnya selain membantu para trekkers menuruni kawasan Laban Rata yang lebih selamat.
Richard Soibi

Malim berusia 49 tahun ini antara 32 jurupandu gunung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pendaki di Gunung Kinabalu. Menurut laporan dari Malaysian Insider, Richard Soibi yang juga Pengerusi Malim Gunung Taman Kinabalu memiliki pengalaman lebih 20 tahun dan sedang membawa 103 orang pendaki semasa gempa bumi berlaku. Kumpulannya adalah antara yang pertama berjaya membawa turun pendaki dari puncak sebelum misi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa keselamatan.
Firdaus Abdul Salam

Firdaus Abdul Salam sudah menjadi malim gunung selama 18 tahun. Meskipun terkejut dengan tragedi yang menimpa salah satu puncak tertinggi di Asia Tenggara itu, Firdaus menggagahkan diri untuk menghulurkan bantuan dalam misi mencari dan menyelamat. Waima dibelenggu kebimbangan soal keselamatan enam pendaki yang masih hilang, Firdaus dan beberapa temannya yang juga penunjuk arah pergunungan giat membantu mengalihkan mangsa dan mayat serta membantu mengagihkan makanan.
Utamakan keselamatan pendaki

Gambar malim gunung yang dikenali sebagai Ridwan dimuat naik oleh Datuk Seri Masidi Manjun dan akhbar tempatan. Dalam tempoh tiga jam sahaja, gambar tersebut mendapat lebih 9 ribu likes. Ridwan dilihat membantu membawa pengusung mangsa yang tercedera.

Bantuan yang mereka hulurkan itu tidak dapat dibalas kerana kesemua malim gunung ini telah mengadai nyawa bagi menyelamatkan pendaki-pendaki yang tercedera dan sebagainya. Jasa baik anda akan dikenang sampai bila-bila. Mari sama-sama kita berdoa agar semua rakyat Sabah selamat dan tidak akan berlaku lagi gempa yang seterusnya.

Layari : http://era.fm/Zon-Interaktif/Interaktif/Trending/Lihat-Trending.aspx?arc=13386&sec=79