KUALA LUMPUR: Harga minyak masak di Indonesia didapati lebih mahal daripada harga minyak masak di Malaysia.

Memetik artikel di kompas.com, didapati harga minyak masak di Indonesia menjangkau antara Rp19,000 (RM5.70) sehingga Rp24,000 (RM7.05) per kilogram.

Ini agak menghairankan memandangkan bekalan minyak sawit di Indonesia sentiasa melimpah ruah.

Malah, Indonesia tersenarai sebagai negara pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia. Pada masa ini, harga global masih melebihi 1,300 dolar AS bagi setiap tan.

Ini berbeza dengan Malaysia yang juga merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

Di Malaysia, harganya lebih murah iaitu sekitar RM2.50 per kilogram atau bersamaan hanya Rp8,500.

Namun, harga ini adalah harga minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan Malaysia. Bagi harga minyak masak tidak bersubsidi, setakat 31 Disember 2021, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal  Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan harga minyak masak pada harga RM27.90 atau sekitar Rp95,100 untuk saiz 5 kilogram.

Dengan kata lain, harga minyak masak di Malaysia ialah Rp19,020 sekilogram. Harga ini adalah untuk beberapa kawasan seperti Pulau Pinang.

Di negeri lain, harga minyak masak lebih tinggi seperti di Perlis iaitu RM28.29 dan di Kedah pula RM28.90 bagi setiap pek 5 kilogram.

Bagaimanapun, harganya masih agak rendah berbanding harga purata minyak masak di Indonesia.

Sebagai satu lagi penanda aras, penduduk Malaysia juga mempunyai pendapatan per kapita yang lebih tinggi iaitu Rp149.25 juta atau hampir tiga kali lebih tinggi daripada KDNK per kapita Indonesia semasa iaitu Rp55.52 juta.

Sama seperti Indonesia, Malaysia turut mengenakan harga runcit terendah untuk beberapa keperluan asas yang dijual di pasaran.

KPDNHEP juga secara rutin menyediakan maklumat harga barangan keperluan asas termasuk minyak masak sebagai rujukan pengguna sama ada melalui laman web rasminya atau aplikasi PriceCather.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, bekalan minyak masak murah akan tersedia dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Volume untuk enam bulan ialah 1.2 bilion liter dan bajet diperlukan untuk menampung perbezaan harga sebanyak Rp3.6 trilion," kata Airlangga.