PUTRAJAYA: Hanya ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low boleh menjawab mengapa wang jutaan ringgit dari SRC International Sdn Bhd disalurkan ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Demikian jawapan Peguam, Harvinderjit Singh ketika Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bertanya mengapa Jho Low memasukkan RM27 juta dana SRC ke dalam akaun Najib.

Dalam prosiding pada Rabu, pasukan pembelaan Najib memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Jho Low dan beberapa individu lain terlibat dalam penyaluran wang ke dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu.

Tambah Harvinderjit, Najib tidak mengetahui tentang transaksi tersebut yang dimaklumkan berjumlah jutaan ringgit.

"Mengapa wang itu diletakkan dalam akaun Najib?" soal Abdul Karim.

Harvinderjit kemudian membalas: "Hanya Jho Low yang boleh menjawabnya."

Dalam pada itu, Harvinderjit berkata Jho Low terlibat dalam dalam pengalihan wang melibatkan akaun SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB), Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) dan Najib.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim, Abdul Karim dan lagi anggota panel iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat.

Pada 28 Julai tahun lepas, Najib didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.