KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuantan memutuskan bahawa kecuaian pemilik meninggalkan kenderaan di tepi jalan tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kecurian, tidak akan mendapat tuntutan insurans seperti mana terikat dalam polisi.

Majistret Nor Izzati Zakaria memutuskan demikian, selepas menolak tuntutan saman difailkan ahli perniagaan Mohd Shah Rizal Mahmud, 37, selaku plaintif, ke atas RHB Insurance Berhad sebagai defendan.

Mohd Shah Rizal menuntut RM85,000 daripada syarikat insurans berkenaan, selepas traktor miliknya dicuri selepas ditinggalkan selama dua hari di bahu jalan Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, kerana kenderaan itu mengalami kerosakan.

Dalam penghakimannya pada 13 Mac, Nor Izzati memutuskan bahawa tindakan plaintif meninggalkan kenderaan tersebut selama dua hari tanpa pengawasan merupakan tindakan yang cuai, memandangkan ia ditinggalkan di tepi jalan tanpa pengawasan olehnya.

Beliau berkata tindakan itu diterjemahkan sebagai mengundang bahaya, kerana boleh menyebabkan kenderaan tersebut dicuri dan tindakan plaintif meninggalkan dan membiarkan traktor itu tanpa pengawasan, menyebabkan kenderaan berkenaan hilang serta tidak dapat dicari oleh pegawai penyiasat polis.

"Mahkamah juga bersetuju dengan defendan bahawa plantif secara cuai meninggalkan dan membiarkan kenderaan tersebut tanpa pengawasan dengan apa-apa alasan sekali pun, kerana plaintif sepatutnya terikat dengan segala syarat dan terma terkandung dalam polisi insurans dibelinya.

"Sehubungan itu, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan, maka tuntutan plaintif ditolak dengan kos RM1,500 perlu dibayar kepada defendan," kata Nor Izzati.

Mohd Shah Rizal telah membeli perlindungan insurans bagi kenderaan tersebut daripada defendan bagi kemalangan jalan raya termasuk perlindungan untuk kecurian bagi tempoh 5 Jan 2021 sehingga 4 Jan 2022.

Pada 24 Nov 2021, Mohd Shah Rizal meletakkan kenderaan tersebut di bahu jalan kerana rosak dan dia menyedari kenderaannya dicuri selepas pergi ke tempat berkenaan pada 26 Nov 2021. Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada hari sama.

Plaintif kemudian membuat tuntutan untuk kehilangan kenderaan tersebut akibat kecurian tetapi defendan telah menolak tuntutan itu tanpa alasan kukuh atau munasabah.

Plaintif mendakwa defendan sebagai penanggung insurans kenderaan tersebut adalah bertanggungjawab untuk membayar sejumlah RM85,000 yang diinsurankan akibat kecurian kenderaan tersebut.

-- BERNAMA