IPOH: Dua lelaki tercampak keluar daripada kenderaan selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang, di tepi lebuh raya KM 265.3 PLUS arah selatan.

Difahamkan nahas itu tidak membabitkan kenderaan lain dan kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Saga Aeroback cedera di bahagian kepala, dada serta tangan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 6.35 pagi.

"Setibanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya ke lokasi mendapati berlaku nahas jalan raya melibatkan sebuah kereta.

"Kereta itu terbabas ke dalam longkang di tepi lebuh raya. Terdapat dua orang lelaki tercampak keluar dan cedera di kepala, dada dan tangan," katanya pada Ahad.

Ujarnya, anggota penyelamat bertindak membuat rawatan awal seterusnya membawa seorang mangsa ke hospital menggunakan jentera EMRS.

Manakala seorang lagi dibawa ke hospital oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi tamat pada jam 7.35 pagi.