KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghentikan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan kenyataan yang dibuat Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner dalam prosiding mahkamah di Amerika Syarikat.

Komitmen itu dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang Kamar Khas di Parlimen hari ini.

"Siasatan terhadap Najib tidak pernah dihentikan termasuk berkaitan 1MDB ini dan sekarang Najib telah dijatuhkan hukuman.

"Berhubung isu terbaharu Tim Leissner ini, sebagai mana saya nyatakan tadi, kita masih dalam siasatan.

"Apabila perkara ini diketahui oleh pihak kita (SPRM), sebab itu kita dengan segera memanggil Datuk Rohana Rozhan dan juga dalam proses memanggil lagi beberapa pihak yang lain untuk kita menyiasat sedalamnya," katanya menjawab pencelahan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Guan Eng ingin tahu sama ada siasatan terhadap Najib telah dihentikan atau tidak susulan pendedahan yang dibuat Leissner.

Berkait siasatan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Tawfiq Ayman, Mas Ermieyati memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat siasatan di bawah Seksyen 4(1)  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Kertas Siasatan (KS) telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 14.10.2021 dan 07.12.2021.
"Bagaimanapun, KS telah dikembalikan semula kepada PDRM pada 21.12.2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura. 

"Memandangkan Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dan Singapura telah ditutup sehingga kini maka tindakan seterusnya akan diambil selepas pembukaan kedua-dua negara," katanya.

Manakala SPRM dalam kes itu pula, jelasnya, memberi tumpuan kepada pemulangan asset yang mana pada ketika ini SPRM dalam usaha pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab usul yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia khasnya BNM susulan skandal 1MDB.

Leissner dalam prosiding di AS dilapor mendakwa dua setiausaha sulit Najib terlibat dalam urusan penerbitan bon ketiga di bawah Projek Catalyze yang bernilai AS$3 bilion (RM12.6 bilion) untuk 1MDB.