KUALA LUMPUR: Keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan tidak boleh dibahas dalam sidang khas Dewan Rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah bagi membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

"Tak apa, itu pandangan anak muda. Kita santuni. Mana boleh kes mahkamah nak runding di Parlimen. Dia kena faham pembahagian kuasa.

"Parlimen bukan mahkamah. Dia tanya soalan dan kita akan cuba jawab. Kerana Peguam Negara bukan Ahli Parlimen dan bukan menteri.

"Harus ada ruang untuk mana-mana Ahli Parlimen bertanya, tetapi jangan jadikan Parlimen itu sidang mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam supaya diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid.

Perdana Menteri juga diminta mengulas sama ada isu berkaitan keputusan DNAA mahkamah itu akan memotivasikan kerajaan untuk mengasingkan kuasa Peguam Negara dan pendakwaan.

Katanya, cadangan berkenaan telah pun dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan satu kertas kerja sudah dibentangkan di Kabinet beberapa bulan lalu.

“Kami juga merujuknya kepada Select Committee (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) dan ia akan menelan belanja yang banyak (tetapi) berbaloi (sebab) jika ia perlu dilakukan, ia akan dilakukan.

“Namun, tolong jangan katakan cadangan itu belum diputuskan, kerana kerajaan kini membuat keputusan.

“Cuma, perkara itu tidak boleh dilaksanakan secepat mungkin dalam beberapa minggu… perlu mempunyai majoriti dua pertiga untuk pembaharuan ini,” katanya lagi.