SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa keputusan kes Nik Elin Zurina tidak langsung merungkai atau menghakis bidang kuasa mahkamah syariah.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dakwaan mengatakan keputusan itu menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan merupakan satu permainan sentimen yang mengelirukan oleh sesetengah pihak.

"Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah menafsirkan undang-undang.

"Fungsi mahkamah ini harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, undang-undang sivil juga boleh terbatal apabila melangkaui bidang kuasa seperti mana senarai-senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memberi contoh kes Mamat Daud melawan Kerajaan Malaysia (1988) 1 MLJ 119.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 298A Kanun Keseksaan terbatal kerana tidak berperlembagaan memandangkan kesalahan berkaitan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan mahkamah syariah.

Sementara itu, Mohamad menggesa agar peranan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam diperhebatkan.

Jawatankuasa tersebut perlu bertindak sebagai platform konsultansi dan badan advokasi berautoriti ke atas negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan dalam memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah dengan melibatkan semua wakil negeri-negeri dan Persekutuan.

Tambahnya, langkah berkenaan perlu supaya sebarang pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Amanah sebagai parti yang menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sentiasa menyokong penuh usaha-usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah termasuk bidang kuasa mahkamah syariah.

"Selaras dengan beberapa peruntukan khusus berkaitan kedudukan Islam termasuk sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) dan bidang kuasa undang-undang di bawah Perkara 121 (1A) dan Senarai 2 Jadual Kesembilan," katanya. - Sinar Harian