KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh baharu pada 12 Mei ini untuk keputusan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman, 64, berkata tarikh baharu ditetapkan selepas pihaknya memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka memerlukan masa untuk memfailkan hujahan.

"Permohonan pembelaan untuk menangguhkan tarikh keputusan hari ini dibenarkan mahkamah. Sehubungan itu berdasarkan tarikh yang dicadangkan pihak pendakwaan, mahkamah menetapkan semula tarikh keputusan penuh pada 12 Mei ini dan tarikh 19 April (hari ini) adalah dilapangkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Seramai 70 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

-- BERNAMA