Pengisytiharan Mahkamah Rayuan terhadap Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang dianggap bertentangan dengan perlembagaan negara boleh menjejaskan semua kes jenayah syariah yang lain, kata peguam syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani.

Ahmad Jailani berkata jika kes jenayah syariah mahu dirujuk kepada jaminan kesamarataan, ia tidak bersesuaian kerana hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

"Kesan daripada pengisytiharan tidak berperlembagaannya undang-undang Seksyen 66 itu akan menjejaskan semua kes jenayah syariah yang lain.

"Antaranya, kesalahan minum arak. Minum arak juga kalau kita mengatakan bahawa tidak memberikan jaminan kesamarataan, minum arak ialah satu kesalahan yang hanya terpakai kepada orang Islam.

"Sama seperti larangan berjudi, larangan itu hanya terpakai kepada orang Islam, sepertimana khalwat.

"Jadi, kalau kita kata ini hanya akan menjejaskan kebebasan dia bergerak kerana kita menahan dia daripada melakukan apa saja yang dia suka, maka ini boleh merosakkan hampir semua undang-undang jenayah syariah yang ada dalam negara kita hari ini," katanya ketika menyampaikan kuliah agama di Surau As-Salikin Bandar Putra Bertam, di sini, malam tadi.

Ahmad Jailani juga menjelaskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan adalah selari dan sesuai dengan apa yang disebut dalam al-Quran dan hadis.

Katanya, kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan di negara ini seharusnya menjadi rujukan utama dalam penghakiman yang melibatkan hal-hal mengenai Islam dan umatnya.

"Larangan yang jelas nabi saw melaknat lelaki yang menyerupai perempuan, dan perempuan yang menyerupai lelaki.

"Apa yang berlaku sekarang, Mahkamah Rayuan buat satu keputusan membatalkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang mana mereka telah melanggar ketetapan Allah dalam surah An-Nisa ayat 116.

"Apabila kita membatalkan satu undang-undang yang datang dari ayat Quran dan sunnah, maka kita telah membatalkan satu undang-undang Islam, sedangkan undang-undang Islam itu disebut dalam Artikel 3 Perlembagaan Negara (bahawa) Islam ialah agama persekutuan.

Menurutnya lagi, sebagai agama persekutuan, definisi Islam itu hendaklah diterima termaktub dalam al-Quran dan sunnah serta tidak boleh memakai definisi sempit melalui huraian manusia yang tidak mempunyai kepakaran dalam Islam.

Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu memutuskan Seksyen 66, Enakmen Jenayah Syariah di Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan dan mengenepikan penghakiman terdahulu terhadap tiga lelaki Islam yang didapati bersalah berpakaian seperti wanita.