Keputusan Najib jalani tahanan rumah atau Penjara Kajang, 5 Januari tahun depan

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memaksa kerajaan atau enam pihak lain di Mahkamah Tinggi di sini, untuk melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani hukuman penjara di rumah atau tidak, ditetapkan pada 5 Januari 2026.
Hakim, Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili Najib, 72, dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan terbabit.
Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan.
Bekas Presiden UMNO itu memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Anak jati Pahang itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta.
Ini termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di ibu negara bagi menjalani baki hukuman tahanan di rumah.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Dia kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


