Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan petisyen pilihan raya masih mempunyai ruang untuk merayu atau mencabar keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, menurut sekyen 36-A Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954, rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi.

Katanya penghakiman yang dibuat Mahkamah Persekutuan bagaimanapun muktamad.

Beliau menarik perhatian mengenai satu kes pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan Mahkamah Tinggi membatalkan kemenangan tanpa bertanding Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Sri Joseph Kurup di kerusi Parlimen Pensiangan selepas PKR memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan itu.

Bagaimanapun, rayuan dibuat dan mahkamah persekutuan mengekalkan kemenangannya.

Sementara itu, katanya Pilihan Raya Umum ke-13 mencatat jumlah petisyen pilihan raya tertinggi iaitu Barisan Nasional (BN) 21 manakala pembangkang sebanyak 35.

Wan Ahmad berkata bagaimanapun tidak semua petisyen yang difail akan didengar kerana mahkamah akan menelitinya terlebih dahulu bagi memastikan ia memenuhi peruntukan yang ditetapkan.

Beliau berkata petisyen pilihan raya tidak boleh difail sewenang-wenangnya hanya kerana pihak yang kalah tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.