Hari ini Mahkamah Persekutuan bakal menyampaikan keputusan bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis terhadap pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Keputusan itu akan disampaikan oleh panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria selepas mendengar rayuan itu selama tiga hari bermula 23 Jun 2013.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Keputusan akan disampaikan di Mahkamah persekutuan lebih kuraang pada pukul 9 pagi.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang melepas dan membebaskan Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan salah dan hukuman gantung yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Kedua polis tersebut telah dituduh membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi, hari berikut pada 2006.

Mereka menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 51, yang dituduh bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas (Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya.