PUTRAJAYA: Keputusan untuk menghantar jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini bergantung pada kelulusan daripada Arab Saudi dan situasi pandemik ketika itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Katanya, beliau akan sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan jemaah haji Malaysia.

"Setakat mana kebolehan untuk pergi ke Makkah ini amat bergantung pada keputusan kerajaan Arab Saudi dan situasi pandemik COVID-19 adakah reda dan melandai atau masih lagi dalam keadaan yang cukup mencabar.

"Ini bukan jemaah Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia. Saya yakin kebijaksanaan (kerajaan Arab Saudi) dan melihat situasi (COVID-19) semasa, mereka akan buat keputusan," katanya kepada media selepas melancarkan Kit Ramah dan menyampaikan kerusi roda kepada pesakit hospital, di sini hari ini.

Ditanya sama ada bakal jemaah haji akan diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 sekiranya ibadat itu dibenarkan, Zulkifli berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Namun beliau tidak menyatakan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan ibadat itu.

"... sebagai sebuah kerajaan, kita nak terima satu keputusan rasmi.. apa syarat dan akan kita patuhi," kata Zulkifli.

Pada tahun lepas, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang sahaja bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

Pada majlis hari ini, Zulkifli menyerahkan 600 unit Kit Ramah yang mengandungi debu tayamum dan botol semburan wuduk, serta 15 unit kerusi roda bernilai RM13,200 untuk pesakit di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.

-- BERNAMA