Enam daripada tujuh murid dari Sekolah Kebangsaan Linggi yang dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak di Hospital Port Dickson (HPD) akibat keracunan racun serangga jenis Organophosphaste dibenarkan pulang, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Zainudin Mohd Ali.

Beliau berkata sehingga tengah hari ini, hanya seorang murid sahaja yang masih ditempatkan di hospital berkenaan bagi pemantauan sehingga pulih dan dijangka pulang petang ini.

"Sehingga tengah hari ini hanya seorang murid sahaja yang masih berada dalam wad di HPD, manakala murid lain sudah dibenarkan pulang.

"Murid yang masih di dalam wad tidak kritikal dan hanya dalam pemerhatian sahaja, jika didapati sihat akan dibenarkan pulang petang ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, seramai 24 pelajar sekolah berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Linggi untuk pemeriksaan dan daripada jumlah itu, 12 pelajar dirujuk ke Hospital Port Dickson dan kesemua mangsa dilaporkan stabil.

BACA: 13 pelajar SK Linggi dikejarkan ke hospital disyaki keracunan racun serangga

Kes keracunan racun serangga dipercayai berpunca daripada kerja-kerja meracun di sebuah kebun cili berhampiran sekolah.

Sementara itu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri memandang serius isu keracunan yang dialami pelajar itu, dan akan meneliti semula setiap kerja-kerja berkaitan projek pertanian yang dijalankan, yang menurutnya perlu dijarakkan daripada kawasan sekolah.

"Kita berharap kejadian sebegini tidak berulang kembali dan ini kali pertama dan terakhir berlaku di negeri ini. Saya harap pihak sekolah juga dapat mengambil langkah-langkah berjaga dan pencegahan berkenaan isu ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Pesta Durian Waghih di sini, hari ini.

-- BERNAMA