Kerajaan akan bincang insentif untuk Sasterawan Negara

Wan Syamsul Amly
Jun 21, 2019 16:03 MYT
MASZLEE: Saya akan mengatur pertemuan dengan Kementerian Kewangan bersama semua Sasterawan Negara untuk merayu isu menyalurkan sumbangan berkaitan kebajikan mereka. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Kementerian Pendidikan akan mengaturkan pertemuan bersama Sasterawan Negara dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan insentif untuk golongan berkenaan.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mungkin akan menjadi lokasi pertemuan yang dijangka dibuat dalam tempoh terdekat ini.
"Kebajikan para sasterawan perlu dijaga, saya akan mengatur pertemuan dengan Kementerian Kewangan bersama semua Sasterawan Negara untuk kita merayu supaya Kementerian Kewangan dapat memberikan dan menyalurkan sumbangan kepada Sasterawan Negara berkaitan kebajikan mereka.
"Kita yakin sebuah negara itu tonggaknya adalah identiti dan identiti adalah budaya dan mereka adalah pejuang bahasa dan budaya yang perlu diberi penghargaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-63 di Wisma DBP, di sini, pada Jumaat.
BACA: Tanda hargai Sasterawan Negara, UniSZA buka Galeri Pak Samad
BACA: DBP sambut baik penempatan sasterawan negara di universiti awam
Turut diadakan, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) DBP bersama Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan surat hasrat DBP bersama RTM serta Persatuan Kebudayaan Han Malaysia.
Dalam pada itu jelas Maszlee, elaun perlu diberi kepada Sasterawan Negara yang diambil mana-mana universiti sebagai sasterawan tamu.
"Universiti telah melakukan satu lonjakan yang begitu besar iaitu mereka mengambil Sasterawan Negara sebagai sasterawan tamu, setiap universiti ada sasterawan tamu
"Tetapi saya tidak pasti sama ada mereka memberikan elaun atau tidak kepada sasterawan ini.
"Saya menyeru kepada semua universiti yang mengambil sasterawan tamu untuk mereka diberikan elaun bulanan sebagai penghargaan," katanya.
Sehingga kini, DBP telah menerbitkan lebih daripada 500 judul digital termasuk majalah, kamus dan ensiklopedia.
Sebanyak 11 judul majalah terbitan DBP kini memasuki era digital antaranya majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Tunas Cipta.
#Dewan Bahasa dan Pustaka #elaun #insentif #Kementerian Kewangan #Kementerian Pendidikan #kerajaan #Maszlee Malik #pendidikan #Sasterawan Negara #universiti