Kerajaan akan mengenal pasti dan meneliti kelemahan dalam pengurusan Felda sebelum mengusulkan tindakan sewajarnya yang patut diambil untuk memastikan aspek tadbir urus baik terus diutamakan agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata cadangan itu juga mungkin melibatkan penukaran individu yang memegang jawatan strategik dalam Felda kerana hal tersebut memaparkan kegagalan pelaksanaan tahap integriti yang sepatutnya.

Beliau berkata memandangkan Felda merupakan sebuah organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri, pihaknya akan berjumpa sendiri dengan menteri terlibat untuk perbincangan lanjut.

"Jika ada sebarang salah laku, pastinya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan menyiasat dan saya yakin mereka telah melakukannya.

"KSN (Ketua Setiausaha Negara) juga patut mengenakan tindakan disiplin dalam hal ini...kerajaan ada banyak agensi, jadi perlu dilihat semula bagaimana kelemahan sebegini boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kali Ke-4, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 pada Isnin, antara lain mendedahkan Felda menanggung kerugian sehingga RM73 juta bagi tiga projek yang dijalankan tanpa kelulusan.

Ketika diminta mengulas mengenai kepentingan pemberi maklumat (whitsleblower) pula, Low menyatakan golongan itu sepatutnya tampil hanya dengan bukti dan motif yang konkrit terhadap sebarang kecurigaan, bukan untuk mencari publisiti murahan.

Jelas beliau, undang-undang di negara ini amat melindungi kerahsiaan 'pemberi maklumat' dan disebabkan itu, usaha pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kelebihan tersebut hanya memburukkan imej kerajaan yang dilihat seolah-olah seperti mencabuli hak golongan itu (pemberi maklumat).

Low memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan kelebihan 'pemberi maklumat' terutamanya dalam mencapai kepentingan politik. -- Bernama