KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula lima Ahli Parlimen pembangkang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh semasa prosiding pengurusan kes, dan memohon tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk membuat persediaan.
Advertisement
Peguam S. Karthigesan, yang mewakili plaintif, pula memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan meneliti dan berkemungkinan memperluas persoalan berhubung isu Perlembagaan yang ingin dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan ART susulan keputusan terkini Mahkamah Agung AS mengenai tarif.
“Kami memerlukan tempoh sekurang-kurangnya seminggu untuk mengkaji alasan penghakiman setebal 170 halaman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung AS dan meyediakan persoalan berkaitan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.
Selepas prosiding itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu media bahawa plaintif sebelum ini telah memuktamadkan persoalan yang dicadankang di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 namun perkembangan terkini itu memerlukan mereka membuat penilaian semula.
Pada Jumaat lepas, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa tindakan Presiden Donald Trump menggunakan kuasa darurat untuk mengenakan tarif timbal balik ke atas hampir semua rakan dagang negara itu adalah tidak berperlembagaan.
Mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah, mahkamah tertinggi AS itu turut memutuskan bahawa Trump telah bertindak melampaui kuasa beliau sebagai Presiden apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas termasuk duti berkaitan fentanil ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.
Malaysia dan AS telah menandatangani ART pada 26 Okt 2025.
Lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang memfailkan saman itu ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Awang Solahuddin Hashim (Pendang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin).
Mereka memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan penting mengenai kesahan perjanjian itu, yang didakwa telah ditandatangani tanpa kelulusan Parlimen.
-- BERNAMA