Skip to main content

Malaysia

Kerajaan akan nilai pelaksanaan BUDI Diesel berdasarkan data, maklum balas – Amir Hamzah

KOTA KINABALU, 5 Julai -- Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (depan dua, kiri) meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di Stesen Shell Jalan UMS hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (depan dua, kiri) meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di Stesen Shell Jalan UMS hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan terus menilai pelaksanaan inisiatif BUDI Diesel berdasarkan data yang dikumpul di lapangan termasuk corak penggunaan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hari ini.

Menjawab soalan sama ada terdapat tempoh semakan yang ditetapkan untuk menilai semula struktur kuota selepas lima hari pelaksanaan bermula pada 1 Julai lepas, Amir Hamzah berkata pendekatan yang diambil kekal fleksibel dan berpandukan data, dengan pelarasan dibuat berdasarkan corak penggunaan sebenar.

“Kami akan sentiasa melihat apa yang ditunjukkan oleh data. (Sebagai contoh) BUDI95, pada asalnya, kami menetapkan kuota sebanyak 300 liter namun apabila keadaan memerlukan penambahbaikan, kuota itu diselaraskan kepada 200 liter.

“Kami tidak berbuat demikian semata-mata kerana mahu menyelaraskan kuota sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan penggunaan sebenar dan data.

“Data menunjukkan bahawa lebih 94 hingga 95 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 300 liter. Kami juga mendapati bahawa mereka yang secara konsisten menggunakan lebih daripada 200 liter adalah kurang daripada satu peratus,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan sentiasa melihat apa yang ditunjukkan oleh data dan membuat penambahbaikan yang bersesuaian.

Bagi BUDI Diesel, Amir Hamzah berkata program itu baru sahaja dimulakan kira-kira lima hari lepas di Sabah dan Sarawak, dengan tumpuan awal ialah memastikan sistem berjalan dengan baik serta semua pengguna yang layak dapat mengaksesnya.

Beliau berkata semua stesen minyak telah mengendalikan sistem itu tanpa berdepan sebarang gangguan setakat ini, dan pengguna yang ingin membeli minyak dapat berbuat demikian.

Amir Hamzah juga berkata kerajaan akan terus memantau data berkaitan pada masa hadapan sambil mengambil kira maklum balas mengenai keadaan unik di lapangan manakala kementerian bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan agensi lain untuk memastikan maklum balas itu dinilai dengan adil, serta analisis dan intervensi direka dengan betul.

Beliau berkata sebarang penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur kuota akan mengambil masa kerana kerajaan terus memantau pelaksanaan dan data bermula dari fasa pelancaran.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan individu tertentu seperti isu pemilikan kenderaan yang dibangkitkan melalui maklum balas sedang diteliti manakala pasukan kerajaan dihantar untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan di lapangan bagi memahami situasi dengan lebih baik.

Amir Hamzah berkata mekanisme itu perlu kekal fleksibel dan menekankan bahawa meskipun sistem tersebut mungkin berfungsi melalui MyKad bagi pengguna individu, kaedah alternatif seperti kad fleet boleh dipertimbangkan untuk penyedia perkhidmatan termasuk mereka yang beroperasi di kawasan luar bandar bagi memastikan subsidi disasarkan secara berkesan kepada kumpulan dimaksudkan.

Menyentuh mengenai inisiatif kaunter pertanyaan BUDI Diesel di stesen minyak, beliau berkata langkah itu penting bagi membantu meningkatkan pemahaman pengguna melalui kerjasama antara syarikat minyak dan pengendali stesen termasuk menugaskan kakitangan untuk memberikan maklumat, menyemak kelayakan melalui kod QR serta bantuan permohonan melalui platform dalam talian.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement