KUALA LUMPUR: Sebanyak RM23 bilion akan diperuntukkan kepada Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19), dengan sebahagian besar peruntukan adalah untuk program yang dibawa ke hadapan dari 2021 iaitu bantuan tunai, sokongan bantuan sosial kepada golongan mudah terjejas serta Program Subsidi Upah (PSU).

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, peruntukan KWC-19 akan berakhir pada 2022 berikutan tabung tersebut merupakan kumpulan wang sementara dengan jangka selama tiga tahun.

"Oleh itu, jumlah keperluan KWC-19 dianggarkan mencecah sekitar RM100 bilion di bawah had siling RM110 bilion yang diluluskan," menurutnya.

Laporan itu turut menjelaskan, baki selebihnya akan digunakan sebagai rang kontigensi sekiranya diperlukan.

KWC-19 ditubuhkan pada September 2020 bagi membiayai pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi untuk menangani krisis COVID-19.

Penubuhan kumpulan wang amanah khusus ini sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, disokong oleh kerangka undang-undang yang kukuh, pengaturan kawalan yang mantap serta standard ketelusan dan pelaporan yang baik.

Sejumlah RM38 bilion telah dibelanjakan pada 2020 untuk membiayai program yang disenaraikan di bawah Jadual dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 (Akta 830).

"Perbelanjaan ini direkodkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, diaudit oleh Jabatan Audit Negara Malaysia dan dibentangkan di Parlimen," tambahnya.

Sehingga akhir Ogos 2021, sebanyak RM58.9 bilion telah dibelanjakan di bawah KWC-19.

-- BERNAMA