PAGOH: Kerajaan akan mempertingkatkan jumlah dos vaksin COVID-19 ke negeri Johor bagi mempercepatkan kadar vaksinasi di negeri itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak 1.5 juta dos vaksin akan dihantar ke negeri itu sebelum ditambah kepada 1.7 juta dos bagi membolehkan sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk dewasa selesai menerima suntikan sebelum 31 Ogos ini.

“Melihat situasi di Johor, macam mana yang telah dibuat untuk negeri-negeri lain saya lihat peratusannya hanya 20 peratus lebih sahaja, berbanding dengan sesetengah negeri yang sudah sampai sehingga 70 peratus.

“Saya telah mengarahkan pada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bersama Menteri kesihatan supaya mengkaji perkara ini dan dikatakan sekurang-kurangnya 1.5 juta dos akan dihantar ke Johor berbanding 1.3 juta dos sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dataran Felda Batu 27, Lenga serta menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil di lokasi sama.

Mengulas lanjut katanya, sekiranya Johor menerima bekalan sehingga 1.7 juta dos, kadar vaksinasi di negeri itu boleh dipertingkatkan kepada 60,000 suntikan sehari.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam membekalkan vaksin ke seluruh negara, namun kekangan bekalan tiba mengikut jadual menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan.

“Memanglah selaku orang Johor saya berminat nak tengok, tetapi bukan masalah tidak mahu bekal, masalah dihadapi kerana bekalan kita tempah tidak sampai mengikut waktu sehingga terpaksa membeli vaksin tambahan daripada PharmaNiaga untuk menampung bekalan.

“Sebab itu Menteri telah berjumpa Menteri Besar Johor dan saya beritahu untuk jumpa menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk berikan penjelasan,” tambahnya.

Semalam, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama, manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.