KUALA LUMPUR: Kerajaan mengamalkan prinsip hak asasi manusia berdasarkan pendirian negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) dan bukan hanya berprinsipkan negara Barat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata kerajaan berpendirian bahawa Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR) tidak seharusnya menjadi satu-satunya sumber dalam menangani isu-isu hak asasi manusia.

"Islam telah mengangkat martabat manusia dengan melarang diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak, mengajak umat mencintai ilmu dan pendidikan serta mewajibkan pemerintah untuk memberikan hak dan keperluan asas yang diperlukan oleh rakyat seperti kebajikan dan keamanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, terdapat beberapa Ahli Parlimen membangkitkan tentang konsep hak asasi manusia berpandukan Barat dan konsep yang berasaskan Islam, selain mengesyorkan agar konsep hak asasi manusia yang diguna pakai kini diteliti semula.

Selain itu, Mohd Na'im berkata bagi membentuk kefahaman yang baik mengenai hak asasi manusia daripada perspektif Islam, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan seminar dan Konvensyen Hak Asasi Manusia daripada Perpektif Islam.

Katanya, program tersebut akan diteruskan bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai perkara itu, sementara JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) turut menerapkan kefahaman Islam mengenai hak asasi manusia dalam khutbah Jumaat.

Menyentuh mengenai pendidikan agama Islam kepada masyarakat Orang Asli, beliau berkata seramai 232 Penggerak Masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia tidak dapat menampung perkhidmatan yang perlu diberikan di semua kampung komuniti itu yang jumlahnya menghampiri 700.

"Ini menyebabkan kelas-kelas pengajian yang dirancang kadangkala tidak dapat dilaksanakan. Selain daripada mengajar, Penggerak Masyarakat Orang Asli turut dibebankan dengan tugas membantu Orang Asli berkaitan hal ehwal kebajikan Muslim. Ini juga mampu menyebabkan jadual kelas dirancang terganggu," katanya.

Beliau memaklumkan kelas pengajian fardu ain secara tidak formal turut diadakan di surau atau dewan sebanyak dua kali seminggu, selain ziarah dari rumah ke rumah serta bimbingan ibadah, dalam usaha memperkasa pengetahuan dan pemahaman agama Islam dalam kalangan masyarakat itu.

-- BERNAMA