Skip to main content

Malaysia

Kerajaan ambil langkah proaktif kekang peningkatan kes denggi - Fahmi

PUTRAJAYA, 9 Sept - Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi berkata, jumlah kes denggi di seluruh negara menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus kepada 65,979 kes setakat minggu epidemiologi ke-35 tahun ini, berbanding 39,616 kes dalam tempoh sama pada 2025. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi membendung peningkatan kes denggi yang ketara ketika ini terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ia termasuk pelaksanaan program gotong-royong secara besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Jelasnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan program itu, khususnya di kawasan zon merah atau lokasi yang sedang berlaku wabak.

"Pihak KPKT akan mengadakan program gotong-royong besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dan ini akan disusuli dengan kenyataan daripada pihak KPKT.

"Pada masa sama, program pembiakan nyamuk Wolbachia dimaklumkan juga kepada Jemaah Menteri mengenai pencapaian dan kejayaan termasuk di Putrajaya," katanya dalam sidang media mingguan, di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai kesan aktiviti 'fogging' terhadap nyamuk Wolbachia yang digunakan sebagai antara kaedah kawalan denggi.

Katanya, nyamuk Wolbachia yang mampu merencatkan pembiakan dan penyebaran virus denggi nyamuk Aedes, boleh mati ketika proses 'fogging' dijalankan.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha meningkatkan pelaksanaan gotong-royong perdana perlu diberikan perhatian, terutama di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Jumlah kes denggi di seluruh negara menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus kepada 65,979 kes setakat minggu epidemiologi ke-35 tahun ini, berbanding 39,616 kes dalam tempoh sama pada 2025.

Sementara itu, jumlah kumulatif kematian akibat denggi sehingga minggu epidemiologi ke-35 tahun 2025 adalah sebanyak 32 kes, berbanding 62 kes bagi tempoh sama tahun ini sekali gus merekodkan peningkatan 93.8 peratus.

Must Watch Video

Advertisement