KUALA LUMPUR: Keadaan kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang disifatkan sebagai membimbangkan.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata walaupun sijil Ketua Audit Negara bagi 2020 telah dikeluarkan dengan status sijil bersih tanpa teguran, namun beberapa penegasan perkara telah diberikan termasuk isu hutang persekutuan.

"Separuh dari hutang baharu digunakan untuk membayar hutang yang telah matang, sepatutnya ia dibayar dengan lebihan hasil yang ada.

"Namun kita faham, pada 2020 negara menghadapi ancaman COVID-19 dan kerajaan terpaksa mengambil langkah membantu sistem kesihatan dan rakyat untuk menangani COVID-19," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini mendapati sejumlah RM98.058 bilion atau 50.4 peratus daripada keseluruhan RM194.555 bilion pinjaman baharu kerajaan digunakan untuk tujuan membayar balik prinsipal hutang bagi 2020.

Jumlah itu meningkat sebanyak RM15.335 bilion berbanding RM82.723 bilion pada 2019.

Justeru Nik Azman berkata pihaknya mengesyorkan perbelanjaan berhemah dan memastikan semua perbelanjaan pembangunan yang dibiayai dengan pinjaman perlu disempurnakan mengikut masa ditetapkan dengan kos yang munasabah tanpa ketirisan dan pembaziran.

Selain itu, isu yang turut diberi perhatian ialah Kumpulan Wang Pembangunan tahun 2020 yang tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan.

"Kita dapati RM2.6 bilion digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyelengaraan yang biasanya dibiayai daripada perbelanjaan mengurus.

"Duit pembangunan ini bersumber kebanyakannya daripada pinjaman seeloknya digunakan untuk menjana pendapatan untuk masa depan, kebanyakannya walaupun dibenarkan dalam akta di bawah Kumpulan Wang Pembangunan tetapi dari segi kesan ekonomi kita rasa tidak begitu sesuai, kita harap kerajaan melihat kepada perkara ini," katanya lagi.

Beliau juga berharap nisbah defisit yang meningkat 6.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bersifat sementara sahaja memandangkan situasi COVID-19 negara dan kerajaan diyakini sedang mengambil langkah-langkah perlu apabila pandemik reda kelak.

-- BERNAMA