Kerajaan Persekutuan akan membayar pampasan berjumlah kira-kira RM1 juta kepada lima pemilik tanah di Lembah Bertam di sini bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mohd Soffi Abd Razak berkata pemilik lima lot tanah itu yang membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar akan diberi masa 21 hari bermula semalam untuk mengosongkan kawasan tersebut mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.

Bagaimanapun, tiada sebarang pampasan diberikan kepada pemegang lesen pendudukan sementara (TOL), katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Lembah Bertam di Dewan Serbaguna Lembah Bertam di sini, hari ini.

"Kalau ikut Kanun Tanah Negara 1965, pampasan mengikut Akta Pengambilan Tanah hanya diberikan kepada tanah yang ada geran hak milik.

"Sekiranya ada projek kerajaan yang hendak dilaksanakan, kerajaan hanya perlu mengeluarkan notis kepada pemilik TOL untuk menamatkan lesen dan menggunakan tapak yang terbabit untuk pelaksanaan projek," katanya.

Mohd Soffi berkata pelaksanaan projek RTB itu melibatkan kerja-kerja melebar dan mendalamkan Sungai Bertam untuk meningkatkan kapasiti air sungai serta menampung air ketika hujan untuk mengelak tragedi banjir lumpur berulang.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu turut membabitkan kerja-kerja melebarkan dan mendalamkan Sungai Bertam.

Katanya projek itu akan mengambil masa selama satu tahun untuk disiapkan dan dijangka akan bermula dalam masa terdekat.

"Projek ini melibatkan kos sebanyak RM30.8 juta dan bakinya untuk ialah kerja-kerja pengukuran, reka bentuk serta pembersihan tanah," katanya.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di sini pada 5 Nov lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.